Kampung (F) Sungai Koyan 3 merupakan sebuah tanah rancangan FELDA yang terletak di dalam Mukim Ulu Jelai, Daerah Lipis, Pahang. Sungai Koyan yang diselaputi dengan bentuk mukabumi yang berbukit ini diterokai untuk perladangan kelapa sawit dan hingga kini kebanyakan kawasannya masih redup dengan pokok-pokok kelapa sawit yang tumbuh subur dibuminya. Ini merupakan salah satu sumber utama rezeki bagi penduduk Sungai Koyan selain dari pertanian sampingan seperti kebun buah-buahan, penternakan ikan air tawar dan sebagainya.
Setiap tempat ada sejarahnya.Begitu juga dengan Kampung (F) Sungai Koyan. Sepertimana tempat lain, pelbagai andaian seseorang dari mulut ke mulut diperolehi. Antaranya ialah Sungai Koyan diberi nama kerana terdapat deposit emas berkoyan-koyan di dalam sungai. Terdapat andaian lain, Sungai Koyan itu sendiri berasal dari perkataan orang asli yang bermaksudHantu.
Dari fakta sejarah yang lebih munasabah dan logik sepertimana yang diceritakan oleh seorang warga tempatan Kampung Kuala Medang.Sungai Koyan memperoleh namanya mengikut suatu kisah yang berlaku pada puluhan tahun dahulu.Menurut beliau, dahulukala terdapat satu rombongan Di Raja Perak datang ke Kuala Lipis untuk mencari emasmelalui Sungai Kuala Medang menyusur ke Sungai Jelai terus ke Padang Tengku.Nama Padang Tengku diperolehi bersempena dengan tempat mereka bermalam.Mereka menjadikan Padang Tengku sebagai pengkalan di mana pembentukan kumpulan untuk kerje-kerja mencari emas.
Salah satu kumpulan yang diketuai oleh Tengku Yang telah menyusur anak sungai di mana terdapat tanda-tanda adanya deposit emas. Mereka telah bermalam disitu untuk melakukan kerja-kerja pencarian emas.Selang beberapa hari mereka sekumpulan di situ, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kehilangan Tengku Yang.Gerakan mencari Tengku Yang terus di lakukan namun demikian usaha mencari Tengku masih tidak berjaya.Mereka sekumpulan memberhentikan tugas pencarian emas dan balik semula ke Padang Tengku untuk melapurkan kehilangan Tengku Yang.
Pencarian kedua dilakukan dengan pasukan yang lebih besar dijalankan malah usaha tersebut tidak berhasil, Tengku Yang masih belum dijumpai.Akhirnya kerja-kerja mencari dihentikan.Bersempena dengan kehilangan Tengku Yang maka sungai tersebut dinamakan Sungai Tengku Yang.
Selepas beberapa lama dari peristiwa tersebut, satu rombongan orang cina telah datang ke Padang Tengku untuk tujuan yang sama dengan bantuan dari kerabat Di Raja Perak. Orang-orang cina tersebut menamakan sungai tersebut sebagai Sungai Tengku Yang hilang.Orang-orang cina menyebut Sungai Tengku Yang sebagai "Sungai Koyang". Lama-kelamaan, perkataan yang keluar dari mulut ke mulut menyebabkan namaSungai Koyan diperolehi. Sehingga kini nama tempat ini di sebut Sungai Koyan.
Begitulah kisahnya asal usul nama Sungai Koyan. Semoga Sungai Koyan membangun dengan lebih pesat dengan hasil yang berkoyan-koyan.
No comments:
Post a Comment